ANGGOTA KPDNKK dan SPRM memeriksa lori tangki yang diisi dengan diesel untuk diseludup ketika serbuan di Puchong kelmarin.
PUCHONG – Seorang lelaki yang melakukan kegiatan haram menyeludup diesel subsidi ke luar negara naik angin apabila menyedari dia diperangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika cuba memberi rasuah sebanyak RM70,000 kelmarin.
Serbuan oleh anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang turut disertai pegawai SPRM itu dilakukan pada pukul 3 petang di sebuah kawasan lapang dekat Jalan Pulau Meranti di sini.
Difahamkan, lelaki berusia lingkungan 30-an tersebut bertindak demikian kerana bukan hanya diesel sebanyak 70,000 liter yang dikumpulnya di dalam lapan buah tangki besar disita, malah modal RM70,000 yang baru dipinjam dirampas pihak berkuasa itu.
Namun atas kebijaksanaan anggota penguat kuasa, kekecohan itu dapat dikawal dan suspek yang juga merupakan pemilik stor haram menyimpan diesel tersebut diberkas. Turut dirampas ialah tiga buah lori tangki, lapan tangki besar dan 70,000 liter diesel yang kesemuanya dianggarkan RM500,000.